KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai semua peluang untuk berkembang dengan mengambil kesempatan daripada kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), yang dijangka menjadi salah satu input baharu untuk memacu ekonomi.

Bagaimanapun, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella berkata, kemampuan masyarakat untuk mengadaptasi teknologi baharu secara meluas tidak hanya bergantung kepada teknologi dan ketersediaannya semata-mata.

Sebaliknya, Nadella, yang sudah 32 tahun berkhidmat di Microsoft berpandangan ia juga terletak kepada kepercayaan masyarakat terhadap teknologi berkenaan, tentang bagaimana ia akan memberi manfaat secara lebih inklusif.

"Tetapi kita juga mempunyai risiko. Oleh itu kita perlu menangani risiko ini di sini sekarang, contohnya,  mengadakan pilihan raya dan (berita) palsu, bukan? Jadi itu adalah kebimbangan sebenar bagi mana-mana demokrasi.

"Oleh itu, kami bekerjasama dengan banyak organisasi, dalam industri teknologi dan di luar industri teknologi untuk mencipta, sebagai contoh standard (tentang) semua perkara teknologi ini.

"Tambahan pula, ini adalah cabaran sosio teknikal, bukan? Ini bukan sekadar cabaran teknikal. Oleh itu, kita perlu mempunyai persamaan untuk melindungi demokrasi kita dan supaya kita boleh menghapuskan kepalsuan yang sangat mendalam dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail yang disiarkan dalam Agenda AWANI pada Jumaat.

Malaysia berpeluang berkembang dengan kemajuan teknologi

Nadella berkata, perbincangan dan dialog mengenai cabaran AI sentiasa berlangsung bagi mencari penyelesaian dan menilai impak penggunaan teknoklogi berkenaan.

Mengambil contoh Malaysia sebagai negara berpendapatan sederhana, beliau berkata keutamaan yang harus dilihat ialah seberapa cepat teknologi berkenaan boleh disebarkan ke seluruh ekonomi, dan memanfaatkan sektor seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Dalam temu  bual berkenaan, Nadella turut ditanyakan mengenai harapan beliau dalam tempoh empat tahun susulan komitmen pelaburan di Malaysia oleh Microsoft, berjumlah AS$2.2 bilion (RM10.48 bilion).

Microsoft telah mengumumkan komitmen terbesar dalam sejarah 32 tahunnya di negara ini dengan pelaburan berjumlah AS$2.2 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang untuk menyokong transformasi digital Malaysia.

"Sebenarnya, empat tahun dari sekarang, apakah produk popular yang dicipta di Malaysia yang mendapat sambutan di seluruh dunia? Apakah penembusan itu?

"Itu berlaku kerana akses kepada teknologi terkini dalam ekonomi tempatan yang mempunyai kesan transformatif dengan mengatakan bahawa lebihan sosial yang dihasilkannya, sama ada dalam pendidikan atau kesihatan.

"Jika anda dan saya duduk di sini meraikan kejayaan sebuah syarikat terkenal dari Malaysia, dan benar-benar melihat hasil kesihatan dan pendikan yang lebih baik untuk setiap rakyat Malaysia, itu akan menjadi masa depan yang yang hebat untuk dinantikan," ujar beliau lagi.

Dalam masa sama, Nadella berkata perbualan beliau ketika pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut disifatkan sebagai memberi inspirasi.

"Beliau (Perdana Menteri) sangat baik. Anda tahu, beliau  pastinya sangat fokus untuk memastikan teknologi baharu ini tersedia, dan yang lebih penting, digunakan untuk memberi manfaat kepada masyarakat Malaysia.

"Beliau sangat fokus dan ia adalah baik untuk mendengar yang beliau benar-benar menyokong," katanya.

Microsoft akan melabur AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam infrastruktur awan dan AI negara untuk tempoh empat tahun akan datang.

Pelaburan itu termasuk membina infrastruktur digital, mewujudkan peluang kemahiran AI, menubuhkan Pusat Kecemerlangan AI Nasional dan meningkatkan keupayaan keselamatan siber negara.

Pelaburan itu menunjukkan komitmen Microsoft untuk membangunkan Malaysia sebagai hab kepada pengkomputeran awan dan teknologi maju yang berkaitan, termasuk AI generatif.